Sukan SEA Ke-34 Berlangsung 18-29 September 2027 Di Sarawak, Pulau Pinang, Johor & Kuala Lumpur

December 5, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Temasya Sukan SEA Ke-34 yang akan berlangsung di Malaysia dijadualkan bermula dari 18hb hingga 29hb September 2027 melibatkan empat venue iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Penetapan tarikh itu diumumkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Malaysia Tahun 2017 di Menara KBS, hari ini.

Hannah menjelaskan tempoh itu dipilih secara strategik kerana 18hb September merupakan musim cuti universiti manakala daripada sudut meteorologi – belum memasuki musim tengkujuh.

“Penetapan tarikh ini juga dibuat bagi memastikan temasya berlangsung selepas Hari Kebangsaan (31hb Ogos) dan Hari Malaysia (16hb September) serta tidak bertembung dengan sebarang acara besar lain.” ujarnya.

Pada masa yang sama, Hannah turut mengumumkan penganjuran 38 jenis sukan yang dibahagikan kepada empat kluster.

Pertamanya, Kluster Sarawak (17 jenis sukan) – akuatik, angkat berat, bola keranjang, boling, boling padang, esports, gimnastik, golf, cricket, memanah, menembak, muay, petanque, skuasy, tae kwan do, tenis dan wusyu.

Keduanya, Kluster Pulau Pinang (6 jenis sukan) – sepak takraw, snuker & biliard, judo, tinju, pingpong dan floorball.

Ketiganya, Kluster Johor (1 jenis sukan) – bola sepak. 

Keempat pula, Kluster Kuala Lumpur (14 jenis sukan) – badminton, berbasikal (Velodrom Nasiona), bola tampar, bola jaring, ekuestrian, hoki, karate, lawan pedang, luncur ais, olahraga, pencak silat, pelayaran (Pusat Operahu Layar Kebangsaan, Langkawi), ragbi dan ski air.

Hannah berkata, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersama Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) akan memberikan cadangan penuh 38 sukan ini kepada SEAGF pada 8hb Disember 2025 di Bangkok.

Dalam pada itu, Sarawak juga diumumkan sebagai lokasi upacara pembukaan sementara Kuala Lumpur pula menjadi lokasi bagi upacara penutup.

Featured Image: KL2017

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd