Sukan SEA: Skuad Wanita Negara Bawa Pulang Gangsa Acara Berpasukan
Hafiz Omar
Sebutir pingat gangsa berhasil dipungut oleh skuad wanita negara dalam acara badminton berpasukan di Sukan SEA Thailand 2025, pada hari ini.
Skuad wanita terpaksa akur dengan warna pingat itu selepas tewas tipis di tangan Indonesia pada peringkat separuh akhir acara badminton berpasukan wanita, sebentar tadi.
Pertembungan itu bermula dengan Letshanaa Karupathevan tewas di tangan Putri Kusuma Wardani menerusi skor 9-21 dan 10-21 pada perlawanan pertama.
Di perlawanan kedua, Malaysia berhasil menyamakan kedudukan apabila beregu wanita No.2 dunia, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan bertarung hebat untuk menumbangkan gandingan Rachel Allessya Rose dan Febi Setianingrum menerusi skor 21-14, 17-21 dan 21-16.

Perlawanan seterusnya, Malaysia memungut satu lagi mata apabila Wong Ling Ching mengejutkan pemain No.10 dunia, Gregoria Mariska Tunjung menerusi skor 22-20, 15-21 dan 21-15.
Pada perlawanan keempat, kapten skuad wanita, Toh Ee Wei diturunkan bergandingan bersama Go Pei Kee berdepan dengan beregu wanita No.1 Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Tria Puspitasari.
Jelas, “scratch pair” ini bukan tandingan yang setara dan pasangan Indonesia itu melakar kemenangan mudah dua set berturut-turut menerusi skor 21-9 dan 21-10 sekaligus menyamakan kedudukan menjadi 2-2.
Pada perlawanan terakhir, Siti Zulaikha menjadi taruhan Malaysia untuk berdepan pemain di ranking 76 dunia, Mutiara Ayu Puspitasari. Bagaimanapun, Zulaikha yang berada di ranking ke-91 tidak dapat menjinakkan Mutiara sekaligus tewas menerusi skor 18-21 dan 16-21.
Hasilnya, Malaysia terpaksa akur tewas 2-3 kepada Indonesia dan terlepas peluang untuk mara ke perlawanan akhir. Indonesia yang merekodkan kemenangan akan membuat penentuan bertemu tuan rumah, Thailand, bagi merebut kilauan emas.