Kemboja Tarik Diri Sukan SEA Thailand 2025 – Alasan Keselamatan

December 10, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Kontinjen Kemboja menarik diri sepenuhnya dari Sukan SEA Thailand 2025 pada hari ini – sehari selepas berlangsungnya upacara pembukaan temasya dwitahun berkenaan di Stadium Rajamangala.

Penarikan diri itu dimaklumkan sendiri oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja (NOCC), Vath Chamrouen menerusi sepucuk surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Sukan Asia Tenggara, Dato Seri Chaiyapak Siriwat pada hari ini.

“Bagi pihak Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja (NOCC), saya kesal untuk memaklumkan bahawa, disebabkan kebimbangan serius dan permintaan daripada keluarga atlet kami untuk ahli keluarga mereka pulang ke rumah dengan serta-merta, NOCC perlu menarik balik semua delegasi kami dan mengatur kepulangan segera mereka ke Kemboja atas faktor keselamatan.” tulisnya.

Penarikan diri ini berlaku selepas konflik sempadan antara tuan rumah, Thailand dengan Kemboja kembali memuncak hingga mencetuskan pemindahan besar-besaran dari kedua-dua garisan pertikaian.

Sebelum ini, Kemboja memaklumkan hanya menyertai 13 acara sukan sahaja terdiri daripada renang, olahraga, esports, lawan pedang, gimnastik, ju-jitsu, kickboxing, ekuestrian, ski air, triathlon, teqball dan bola tampar.

Sementara itu, dalam makluman yang sama Kemboja mengumumkan menarik diri dalam lapan acara lain – judo, karate, pencak silat, petanque, gusti, wushu, bola sepak dan sepak takraw.

Featured Image: Facebook Olympic Cambodia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd