Sukan SEA: Skuad Bimbingan Nafuzi Zain Rebut Pingat Gangsa

December 15, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Anak-anak buah Nafuzi Zain dinafikan tempat ke perlawanan akhir acara bola sepak lelaki di Sukan SEA Thailand 2025 apabila tewas tipis di tangan tuan rumah pada aksi separuh akhir, sebentar tadi.

Pertarungan sengit yang berlangsung di Stadium Rajamangala itu menyaksikan skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia tewas 0-1 hasil jaringan seawal minit kelapan oleh Yotsakorn Burapha menerusi sepakan percuma.

Tidak lama selepas jaringan tersebut, Malaysia bagaikan jatuh ditimpa tangga, terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan Muhammad Aiman Yusuf dilayangkan kad merah, pada minit ke-16, selepas mendapat dua kad kuning.

Bagaimanapun, kekurangan seorang pemain tidak mematahkan semangat anak-anak buah Nafuzi dan mereka berhasil mencemaskan gawang lawan dengan beberapa percubaan bahaya.

Namun begitu, ketangkasan penjaga gol lawan serta beberapa percubaan yang tidak tepat ke sasaran menyebabkan kedudukan 0-1 itu berlanjutan sehingga pengadil meniup wisel menamatkan permainan.

Walaupun tewas, Malaysia mempunyai baki satu perlawanan lagi bertemu Filipina bagi merebut pingat gangsa yang dijadualkan berlangsung pada 18hb Disember (Khamis).

Terdahulu, Filipina dikekang ke perlawanan akhir berikutan tewas di tangan Vietnam dengan keputusan 0-2.

Featured Image: Changsuek

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd