Terengganu FC Hilang Khidmat Pemain Tengah Import
Hafiz Omar
Kelab berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC bakal kehilangan salah satu pemain tengah import terbaiknya iaitu Nurillo Tukhtasinov.
Perlawanan bertemu Sabah FC dalam saingan Liga Super di tempat sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 223hb Disember (Selasa) bakal menjadi penampilan terakhir pemain berusia 28 tahun berkenaan bersama skuad Hitam Putih itu.
Perkembangan itu hadir berikutan Nurillo membuat keputusan untuk kembali ke negara kelahirannya, Uzbekistan, apabila kontraknya bersama Terengganu FC berakhir pada bulan ini.
Dimaklumkan oleh pihak Terengganu FC, Nurillo telah bersetuju untuk menyertai sebuah kelab berpangkalan di negaranya, tidak didedahkan nama setakat ini, sekaligus membuka lembaran cabaran baharu dalam karier bola sepaknya.

Pemain yang menyarung jersi bernombor 10 ini mendedahkan mendapat beberapa tawaran daripada kelab elit dalam saingan Liga Super namun menolak atas faktor kesetiaan bersama Terengganu FC.
Sebagai rekod, Nurillo menyertai Terengganu FC sejak Julai 2023. Pemain lincah berketinggian 1.72 meter (m) itu tidak menunggu lama untuk memberikan impak kepada pasukan selain meraih pujian daripada para penyokong serta peminat.
Transfermarkt merekodkan Nurillo telah meraih 76 penampilan bersama Terengganu FC dalam pelbagai pertandingan samada domestik mahupun antarabangsa serta menjaringkan 10 gol dan mencipta tujuh bantuan gol.
Terengganu FC turut memaklumkan akan mengadakan sesi penghargaan khas kepada Nurillo dalam aksi menentang Sabah FC dan menyeru penyokong-penyokong untuk turut sama meraikan Sang Arkitek itu.
Featured Image: Terengganu FC