Terbuka Malaysia: Jun Hao Lakar Kemaraan Sulung Ke Pusingan 16 Jelajah Dunia Sejak September

January 7, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan lelaki No.1 negara, Leong Jun Hao berhasil melakar kemaraan sulung ke pusingan 16 dalam Jelajah Dunia BWF sejak September 2025 selepas mengetepikan wakil China, Wang Zheng Xing, hari ini.

Sejak September lalu, Jun Hao terkandas di pusingan 32 dalam lima kejohanan Jelajah Dunia BWF yang disertainya iaitu Terbuka Korea, Terbuka Denmark, Terbuka Perancis, Terbuka HYLO dan Masters Kumamoto Jepun.

Dalam pertarungan itu, Jun Hao yang menghuni ranking ke-28 dunia menampilkan persembahan yang cemerlang dan mencetak kemenangan dua set berturut-turut menerusi skor 21-17 dan 21-17 dalam masa 48 minit.

Jun Hao mencetak kemenangan bergaya itu dalam pertemuan sulung dengan Zheng Xing di kejohanan antarabangsa.

Keputusan itu turut menyaksikan Jun Hao muncul sebagai wakil tunggal negara dalam sektor perseorangan lelaki yang mara ke pusingan 16 bagi kejohanan bertaraf Super 1000 ini selepas Lee Zii Jia kecundang di tangan Ayush Shetty dari India, pada Selasa. 

Bagi peringkat seterusnya, Jun Hao akan menantikan cabaran samada daripada pemain Chinese Taipei, Lee Chia Hao atau pilihan keempat kejohanan dari Indonesia, Jonatan Christie.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd