Terbuka Malaysia: Pearly-Thinaah, Febriana-Meilysa Ulangi Aksi Akhir Sukan SEA
Hafiz Omar
Beregu wanita No.2 dunia, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan mengulangi aksi perlawanan akhir Sukan SEA 2025 apabila bertemu dengan Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Trias Puspitasari sekali lagi di pusingan 16 Terbuka Malaysia 2026.
Pertemuan itu terhasil selepas Pearly-Thinaah merekodkan kemenangan 21-11 dan 21-9 ke atas pasangan India, Rutaparna Panda dan Swetaparna Panda di pusingan 32, hari ini.
Sementara itu, Febriana-Meilysa pula mara ke pusingan 16 selepas turut mengalahkan beregu India, Treesa Jolly dan Gayatri Gopichand Pullela dalam aksi sengit yang berkesudahan dengan skor 21-9, 21-23 dan 21-19.
Pada aksi akhir Sukan SEA di Bangkok pada bulan lalu, Pearly-Thinaah yang bertemu Febriana-Meilysa berhasil mencatatkan kemenangan menerusi skor 21-16, 19-21 dan 2117 sekaligus meraih pingat emas di temasya dwitahunan berkenaan.
Secara keseluruhannya, Pearly-Thinaah dan Febriana-Meilysa pernah bertembung sebanyak empat kali di pelbagai kejohanan antarabangsa dan kesemuanya berakhir dengan kemenangan.
Sebagai rekod, ini merupakan julung kalinya Pearly-Thinaah berjaya melangkah ke pusingan 16 selepas terkandas di pusingan 32 pada edisi 2023, 2024 dan 2025.
Featured Image: BAM