PM Anwar Undang Bekas Bintang Arsenal Ke Malaysia

January 9, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundang bekas bintang Arsenal merangkap juara Piala Dunia 2014, Mesut Ozil untuk berkunjung ke Malaysia bagi berkongsikan pengalaman bola sepaknya.

Selain itu, undangan Anwar kepada bekas pemain tengah berusia 37 tahun yang kini menyertai arena politik di Turkiye itu turut diperluaskan kepada perbicaraan mengenai kepimpinan, nilai kemanusiaan serta peranan anak muda dalam memperjuangkan keadilan dan solidariti sejagat.

Anwar melontarkan undangan itu ketika menerima kunjungan Ozil di Istanbul semasa lawatan rasminya ke Turkiye selama tiga hari.

“Dalam pertemuan ini, saya sempat berkongsi pengalaman serta bertukar pandangan dengan beliau mengenai pelbagai perkara, termasuk melibatkan kepentingan umat Islam dan situasi kemanusiaan di Gaza.”

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Mesut Özil (@m10_official)

“Sebagai selingan santai, perbualan kami turut menyentuh kisah cucu saya yang merupakan penyokong tegar The Gunners, satu perkara yang mengundang senyuman beliau.” kongsi di pelbagai platform media sosialnya.

Ozil cukup diingati ramai peminat bola sepak  Arsenal (2013-2021), Real Madrid (2010-2013) serta Werder Bremen (2008-2010)  mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional sekitar Mac 2023 pada usia 34 tahun.

Selama hampir 17 tahun bermain bola sepak, Ozil yang cukup dikenali dengan kemampuannya untuk mengumpan bola kepada penyerang di hadapan gawang pernah menjulang beberapa kejuaraan seperti La Liga, Copa del Rey, Supercopa de Espana, Piala FA dan Perisai Komuniti. 

Selepas dua tahun bersara selaku pemain bola sepak profesional, Ozil meraih tumpuan apabila terlibat secara langsung dalam arena politik dengan menyertai dan menjadi ahli majlis Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) – parti yang sama diwakili Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Featured Image: Arsenal

 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd