Terbuka Malaysia: Pasangan Hong Kong Singkir Tang Jie-Ee Wei
Hafiz Omar

Juara Kejohanan Dunia BWF, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei ditunjukkan jalan keluar daripada Terbuka Malaysia 2026 oleh pilihan ketujuh kejohanan, Tang Chun Man dan Tse Ying Suet di peringkat suku akhir.
Biarpun diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan, Tang Jie-Ee Wei terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan bertaraf Super 1000 ini selepas tewas tiga set permainan di tangan wakil Hong Kong itu menerusi skor 17-21, 21-17 dan 10-21.
Keputusan itu sekaligus membuatkan rekod pertemuan Tang Jie-Ee Wei dengan Chun Man-Ying Suet seimbang – dua kemenangan masing-masing daripada empat perlawanan di kejohanan antarabangsa.
Pada masa yang sama, Tang Jie-Ee Wei gagal mengulangi pencapaian edisi lalu – mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia 2025.
Sementara itu, Chun Man-Ying Suet yang mara ke separuh akhir akan membuat perhitungan dengan pilihan nombor satu kejohanan dari China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping.
Yan Zhe-Dong Ping mara selepas mengetepikan beregu senegaranya, Guo Xin Wa dan Chen Fang Hui dua set berturut-turut menerusi skor 21-16 dan 21-9.
Featured Image: BAM