Terbuka Malaysia: Beregu No.1 Dunia Ketepikan Wei Chong-Kai Wun
Hafiz Omar

Perjalanan beregu lelaki No.2 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun di Terbuka Malaysia 2026 menemui titik noktahnya selepas bertemu Kim Won Ho dan Seo Seung Jae di peringkat suku akhir.
Pertemuan keenam melibatkan kedua-dua pasangan itu di pentas antarabangsa menyaksikan Wei Chong-Kai Wun tewas di tangan beregu No.1 dunia itu menerusi skor 17-21 dan 14-21 dalam masa 41 minit.
Itu menjadi kekalahan keenam berturut-turut Wei Chong-Kai Wun selepas tewas di Jelajah Dunia Akhir BWF 2025, Terbuka Perancis 2025, Kejohanan Dunia BWF 2025, Terbuka Jepun 2025 dan Masters Orleans 2025.
Penyingkiran ini menyaksikan Wei Chong-Kai Wun gagal menyamai pencapaian mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia edisi lalu sebelum tewas kepada wakil China, Chen Bo Yang dan Liu Yi.
Sementara itu, Won Ho-Seung Jae yang melangkah ke separuh akhir akan bertemu beregu bukan pilihan dari England, Ben Lane dan Sean Vendy.
Pasangan yang menduduki ranking ke-16 dunia itu mara selepas mengejutkan juara dunia 2021 dari Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi menerusi skor 22-20 dan 21-19.
Featured Image: BAM