2 Pemain Skuad Kebangsaan Tajikistan Ganti Nurillo, Gabriel

January 12, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penghuni tangga kelima Liga Super, Terengganu FC tampil mengumumkan penyertaan dua anggota skuad kebangsaan Tajikistan iaitu Ehson Panjshanbe dan Shervoni Mabatshoev selaku pemain import baharunya.

Dua pemain itu menjadi gantian secara langsung kepada pemergian bekas dua pemainnya – Nurillo Tukhtasinov yang tidak menyambung kontrak serta Gabriel Silva yang berpisah dengan persetujuan bersama.

Kelab yang mendapat bimbingan sementara daripada Tengku Hazman Raja Hassan itu mengumumkan kemasukan dua pemain baharu terbabit menerusi laman sesawang dan pelbagai platform media sosial rasminya, pada Ahad.

Ehson, 26 tahun, beraksi di posisi tengah dilihat menjadi pilihan utama sebagai pengganti kepada Nurillo dalam kesebelasan utama Terengganu FC bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2025-26.

Menurut pihak kelab, Eshon yang pernah beraksi bersama kelab gergasi Tajikistan iaitu FC Istiklol serta dua buah kelab di Uzbekistan telah menandatangani kontrak selama setahun bersama Terengganu FC.

“Kehadirannya dijangka mampu memberi kestabilan, kreativiti serta kawalan permainan yang lebih mantap di bahagian tengah pasukan Terengganu FC.” tulis kenyataan pihak kelab sambil mengepilkan foto yang mendedahkan Ehson bakal menyarung jersi bernombor 10.

Sementara itu, seorang lagi pemain, Shervoni, 25 tahun, merupakan seorang pemain sayap yang dilihat menjadi pengganti secara langsung kepada Gabriel Silva.

Dimaklumkan, bekas pemain FC Regar TadAZ ini akan diberikan jersi bernombor 88 serta turut menandatangani kontrak selama setahun.

“Kehadiran beliau dijangka dapat membantu pasukan Terengganu FC dari segi kestabilan dan keseimbangan pasukan, khususnya dalam memperkemaskan organisasi permainan di bahagian serangan sepanjang musim ini.” kongsi pihak kelab.

Sejak memulakan karier sebagai pemain bola sepak profesional, Shervoni banyak menabur bakti di negara kelahirannya sendiri. Namun begitu, pemain yang telah tampil sebanyak 36 kali bersama skuad kebangsaan Tajikistan pernah berkenalan ke Uzbekistan dengan menyertai Kapaz.

Penampilan sulung kedua-dua pemain dijangka dapat dilihat apabila Terengganu FC melayan kunjungan DPMM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa.

Featured Image: Terengganu FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd