Sivasangari Muncul Naib Juara Terbuka Karachi 2026

January 12, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Pemain skuasy wanita No.1 negara, Sivasangari Subramaniam terlepas peluang untuk mendakap kejuaraan Terbuka Karachi 2026 susulan tewas kepada pemain No.3 dunia dari Mesir, Amina Orfi.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada Ahad itu, Amina, 18 tahun, menampilkan aksi cemerlang dan menumpaskan Sivasangari dengan bergaya – menang tiga set berturut-turut menerusi skor 11-8, 11-2 dan 11-7 dalam masa 38 minit.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan Sivasangari tewas buat kali ketujuh di tangan Amina daripada lapan pertarungan di pelbagai pentas antarabangsa.

Pertemuan dalam perlawanan akhir Terbuka Kelab Bola Sepak Hong Kong 2023 kekal menjadi satu-satunya perlawanan yang berjaya dimenangi Sivasangari ke atas Amina, setakat ini.

Bagi Amina pula, kemenangan itu membolehkannya merangkul kejuaraan ketiga bagi kejohanan Jelajah Skuasy PSA bertaraf Emas dan ketiga sepanjang musim 2025-26.

Sebagai rekod, ini merupakan kali ketiga Sivasangari berhasil mara ke perlawanan akhir dalam kejohanan yang disertainya musim ini selepas beraksi di Terbuka Skuasy Kelab Bola Sepak Hong Kong 2025 dan Terbuka Silicon Valley 2025,

Untuk kejohanan berikutnya, Sivasangari akan mengambil bahagian dalam Sprott Tournament of Champions 2026 di New York, Amerika Syarikat bermula 23hb Januari kelak.

Di kejohanan bertaraf Platinum terbabit, Sivasangari akan memulakan kempen dengan bertemu pemain Scotland yang menghuni ranking ke-25 dunia, Georgia Adderley.

Featured Image: PSA Squash Tour

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd