FAM Umum Dollah Salleh Sebagai Penolong Pengarah Teknikal NFDP
Hafiz Omar

Bekas penyerang skuad kebangsaan era 80-an merangkap bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Dato’ Dollah Salleh kini terlibat secara langsung dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Menerusi satu perkongsian oleh badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengambil alih aspek teknikal NFDP mengumumkan Dollah yang juga Naib Presiden FAM sebagai Penolong Pengarah Teknikal NFDP.
Kehadiran Dollah sekaligus menjadi orang kanan buat Datuk Ong Kim Swee yang kini berperanan sebagai Pengarah Teknikal NFDP – sejak 1hb Disember 2025.
Dalam perkongsian yang sama, FAM turut mendedahkan bekas ketua jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail akan bertindak sebagai Ketua Pendidik Jurulatih & Pencarian Bakat NFDP sambil dibantu oleh P. Ganasamurthy, Abdul Ghani Malik dan S. Veloo.

Manakala skuad elit di bawah NFDP, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) melibatkan pelbagai peringkat umur turut mendapat ketua jurulatihnya yang tersendiri.
Skuad AMD Bawah 17 Tahun (B-17) akan dilatih oleh Noor Zaidi Rohmat sambil dibantu oleh Armi Sharif dan Syahrul Azwari Ibrahim.
Sementera itu, Skuad AMD B-16 pula dibimbing oleh legenda Liga Super dan bekas pertahanan kental skuad kebangsaan, Shukor Adan dan dibantu oleh Lim Chan Yew serta Kuizwan Johari. Manakala bekas penjaga gol, Farizal Harun pula dipilih sebagai jurulatih penjaga gol.
Beralih kepada Skuad AMD B-15, bekas ketua jurulatih PDRM FC, P. Maniam dipilih sebagai pengendalinya sambil dibantu oleh M. Lingeswaran, Radzi Salleh dan jurulatih penjaga gol, Norazlan Razali.
Skuad AMD B-14 pula mendapat kepakaran Rusdi Suparman sebagai ketua jurulatih sambil dibantu oleh Aziz Ismail dan Shahril Faizal Sharifuddin serta Rozaimi Rohim.
Akhir sekali, Skuad AMD B-13 pula diletakkan di bawah kendalian Hassan Sazali Waras, yang pernah melatih Skuad Projek FAM-MSN dalam kancah Liga Premier, dengan dibantu oleh Fadzli Saari dan Fauzi Kassim serta Firdaus Mohamad.
Featured Image: FAM