Terbuka India: Zii Jia Tewas Kali Kelima Di Tangan Gemke

January 13, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan lelaki Denmark, Rasmus Gemke terus melebarkan rekod pertemuannya ke atas Lee Zii Jia kepada lima kemenangan berturut-turut selepas bertembung di Terbuka India 2026, pada hari ini.

Aksi di pusingan 32 bagi Jelajah Dunia BWF Super 750 itu bermula dengan Zii Jia, ranking ke-144 dunia, terlebih dahulu tewas set pertama menerusi skor 13-21.

Ianya diikuti dengan kebangkitan Zii Jia pada set kedua menerusi skor 21-18 sekaligus melanjutkannya ke set ketiga.

Bagaimanapun, hasrat Zii Jia untuk mencetak kemenangan sulung selepas berehat panjang sejak September tahun lalu tidak kesampaian apabila tewas set ketiga menerusi skor 18-21.

Untuk rekod, pertarungan kelima di kejohanan antarabangsa melibatkan Zii Jia dan Gemke itu memakan masa selama satu jam dan dua minit.

Sebagai rekod, empat pertemuan yang turut berakhir dengan kekalahan buat Zii Jia di tangan Gemke adalah di Terbuka Indonesia 2021, Masters Indonesia 2021, Terbuka Badminton Bitburger 2017 dan Kejohanan Antarabangsa Belgium 2016.

Sementara itu, Gemke, ranking ke-27 dunia yang mencetak kemenangan serta mara ke pusingan 16 akan membuat perhitungan dengan Chi Yu Jen dari Chinese Taipei. 

Penghuni ranking ke-26 dunia itu mara selepas mengejutkan pilihan keenam kejohanan dari Perancis, Alex Lanier menerusi skor 21-17 dan 21-19 dalam masa 50 minit.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd