AFCON: Mane Menang, Salah Kalah
Hafiz Omar

Senegal mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 selepas menundukkan Mesir dengan keputusan 1-0 pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Kemenangan itu berpunca daripada ledakan dari luar kotak penalti oleh Sadio Mane pada minit ke-78 selepas memanfaatkan bola rembatan Lamine Camara yang terkena Hamdy Fathy lalu terbias ke arah Mane.
Selepas jaringan tersebut, Mesir pimpinan Mohamed Salah gagal mencari sebarang jaringan penyamaan sehingga pengadil perlawanan, Pierre Atcho meniup wisel menamatkan permainan.

Berdasarkan statistik perlawanan, Senegal selayaknya meraih tiket ke perlawanan akhir dengan mengungguli pelbagai aspek permainan seperti jumlah percubaan, percubaan tepat, pegangan bola dan sepakan sudut.
Keputusan itu juga menyaksikan peluang Salah untuk memburu kejuaraan AFCON telah lebur.
Namun begitu, itu bukan pengakhiran kempen Mesir yang diketuai Salah. Mereka akan ke perlawanan penentuan tempat ketiga bertemu Nigeria, Ahad nanti.
Sementara itu, Mane bersama-sama Senegal akan membuat perhitungan dengan Maghribi merangkap tuan rumah untuk merebut kejuaraan AFCON edisi kali ini.
Perlawanan akhir itu dijadualkan berlangsung pada jam 3 pagi, awal pagi Isnin (waktu malaysia) di Stadium Putera Moulay Abdellah, Rabat.
Featured Image: Fédération Sénégalaise de Football & Egpyt National Team