Piala Hyundai: Clamovski Mahu Beri Peluang Kepada Pemain Sedang Meningkat
Hafiz Omar

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski mahu menggunakan pentas Kejohanan ASEAN Piala Hyundai 2026 untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain yang sedang meningkat naik bermain di peringkat antarabangsa.
Jurulatih dari Australia itu menjelaskan percaturan terbabit adalah bertujuan untuk mempertingkatkan kedalaman skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya sekaligus menyiapkan pasukan untuk kejohanan-kejohanan besar di masa akan datang.
Cklamovski berkongsikan salah satu percaturannya itu selepas selesai majlis undian yang menyaksikan Malaysia dalam Kumpulan B bersama-sama naib juara edisi lalu, Thailand serta Filipina, Myanmar dan Laos.
View this post on Instagram
“Piala ASEAN memberikan peluang pembangunan penting kepada kita. Berlangsung di luar Kalendar (Perlawanan) Antarabangsa FIFA, ia membolehkan kita menumpukan kepada membina kedalaman (skuad), memberikan peluang kepada pemain yang sedang meningkat naik pengalaman antarabangsa dan memperkukuhkan laluan (pemain) ke skuad kebangsaan dalam membuat persiapan menghadapi kejohanan-kejohanan utama, termasuk Sukan SEA 2027 di Malaysia.” katanya sepertimana dikongsikan di akaun-akaun media sosial Malaysia NT.
Untuk makluman, kejohanan dwitahunan (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) edisi ke-16 itu dijadualkan berlangsung dari 24hb Julai hingga 26hb Ogos kelak – di luar daripada Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA.
Pada edisi lalu, Malaysia di bawah kendalian jurulatih sementara, Pau Marti menamatkan kempen di kejohanan terbabit di tangga ketiga Kumpulan A dan gagal mara ke peringkat separuh akhir.
Sejak penganjuran sulung pada tahun 1996 di Singapura, Malaysia hanya berjaya merangkul kejuaraan itu sebanyak satu kali pada edisi 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal.
Featured Image: Malaysia NT