Harrif Saleh Bersara Pada Usia 37 Tahun

January 16, 2026
Basikal

Hafiz Omar

Pelumba basikal jalan raya, Harrif Saleh tampil mengumumkan persaraannya selepas hampir dua dekad berkecimpung sebagai pelumba basikal profesional.

Harrif yang mesra dengan panggilan Mamat, kelahiran negeri Terengganu mengumumkan keputusannya untuk bersara menerusi satu video khas berdurasi lebih 12 minit yang memaparkan pelbagai detik dalam kariernya. 

“Saya sendiri rasa dah cukup lama dalam sukan lumba basikal, sudah tiba masanya saya menurunkan ilmu untuk generasi yang baharu,”

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HARRIFSALLEH (@harrif_saleh)

“Saya rasa puah doh, saya rasa cukuplah, TSG (Terengganu Cycling Team) dah lakukan yang terbaik kepada saya,” katanya dalam video yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya pada Khamis.

Dalam majlis pengenalan pasukan TSG bagi musim 2026 yang berlangsung di Primula Beach Hotel pada Khamis, Harrif turut diraikan dan diberikan penghargaan khas.

Sebagai penghargaan, Harrif menerima sebuah basikal Polygon dengan corak warna emas hitam oleh TSG serta diberikan penghormatan “Ride of Honour” di hadapan pelumba-pelumba.

Sebagai rekod, Harrif memulakan karier sebagai pelumba basikal jalan raya profesional bersama Skuad Kebangsaan pada tahun 2008 sebelum menyertai TSG pada tahun 2011.

Sepanjang tempoh itu, Harrif berjaya menjuarai 30 perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) termasuk tiga peringkat perlumbaan berprestij tanah air, Le Tour de Langkawi (LTDL).

Selain itu, Harrif pernah mewarnai kariernya dengan beraksi dalam acara basikal trek dan berjaya memungut emas di Kejohanan Trek Asia serta Sukan SEA.

Featured Image: Terengganu Cycling Team

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd