Malaysia Pertaruh Barisan Pemain Muda Di BATC 2026
Hafiz Omar
Barisan pemain muda menjadi taruhan skuad lelaki dan wanita Malaysia untuk menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 yang dijadualkan berlangsung 3hb-8hb Februari kelak di Qingdao, China.
Teka-teki mengenai pemain yang akan terpilih untuk membarisi skuad lelaki dan wanita ke kejohanan terbabit terjawab apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkongsikan senarainya pada Sabtu.
Bagi skuad lelaki, antara pemain yang terpilih ialah Justin Hoh (22), Aidil Sholeh (26), Eogene Ewe (21), Kong Wei Xiang (18), Arif Junaidi (24), Yap Roy King (25), Haikal Nazri (24), Choong Hon Jian (26), Aaron Tai (20) dan Kang Khai Xing (20).
Sementara itu, skuad wanita pula dibarisi Letshanaa Karupathevan (23), Wong Ling Ching (23), Siti Zulaikha (20), Oo Shan Zi (19), Ong Xin Yee (20), Carmen Ting (20), Chong Jie Yu (21), Vanessa Ng (23), Cheng Su Hui (23) dan Tan Zhing Yi (23).

Berdasarkan senarai itu, BAM bukan sahaja mengetengahkan pemain muda bahkan turut menyisihkan pemain-pemain senior seperti Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Pearly Tan, Thinaah Muralitharan, Leong Jun Hao dan lain-lain lagi.
Keputusan ini bakal memberikan peluang buat pemain-pemain muda itu untuk menggalas tanggungjawab membawa nama negara mara sejauh mungkin dalam kejohanan berpasukan seperti ini.
Berdasarkan keputusan undian baru-baru ini, skuad lelaki Malaysia diundi bersama-sama Indonesia dan Myanmar. Manakala skuad wanita pula hanya sekumpulan dengan China.
Pada edisi lalu, skuad lelaki Malaysia yang dibarisi pemain-pemain utama seperti Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin muncul naib juara selepas tewas perlawanan akhir kepada China.
Skuad wanita yang turut disertai Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan pula terkandas di peringkat suku akhir selepas tewas di tangan Indonesia.