Ranking FIFA: Senegal Lonjak 7 Anak Tangga, Maghribi Masuki Kelompok 10 Terbaik

January 20, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Senegal merekodkan peningkatan sebanyak tujuh anak tangga dalam Ranking Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas bergelar juara kejohanan benua, Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025.

Skuad bimbingan Pape Thiaw itu muncul juara setelah merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Maghribi hasil jaringan Pape Guaye pada masa tambahan dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Putera Moulay Abdellah, Rabat pada awal pagi Isnin (waktu Malaysia).

Peningkatan itu diperlihatkan selepas FIFA melakukan kemaskininya pada hari ini.

Maghribi yang terpaksa akur dengan gelaran naib juara AFCON 2025 pula merekodkan peningkatan sebanyak tiga anak tangga. Namun begitu, peningkatan itu meletakkannya di tangga kelapan dunia sekaligus menempatkan mereka dalam kelompok 10 terbaik dunia buat pertama kali sejak tahun 1998.

Antara yang menarik dapat disaksikan dalam kemaskini Ranking Dunia pada kali ini seperti Cameroon dan Nigeria merekodkan peningkatan 12 anak tangga masing-masing – peningkatan tertinggi. 

Manakala Equatorial pula merekodkan penurunan sebanyak 10 anak tangga – kejatuhan paling besar pada kali ini.

Kedudukan tangga pertama hingga ketujuh Ranking Dunia tidak menyaksikan sebarang perubahan dengan Sepanyol kekal mengunggulinya diikuti oleh Argentina, Perancis, England, Brazil, Portugal dan Belanda.

Malaysia berjulukan Harimau Malaya juga tidak mengalami sebarang perubahan dengan kekal di tangga 121 sepertimana kemaskini yang lalu. 

Featured Image: Africa Cup of Nations Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd