Piala Dunia FIFA Mendarat Di Malaysia

January 21, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Trofi paling berprestij dalam sukan bola sepak, Piala Dunia FIFA mendarat di Subang pada pagi tadi sekaligus membuka peluang buat para peminat tempatan melihatnya dengan lebih dekat sepanjang hari ini.

Diperbuat daripada emas 18 karat dengan berat sekitar 6kg, trofi yang menjadi idaman pemain-pemain bola sepak seluruh dunia itu singgah di Malaysia sebagai salah satu daripada 75 destinasi jelajah global yang dianjurkan oleh Coca-Cola.

Setibanya di Subang Skypark, trofi itu didedahkan oleh bekas pemain Brazil dan Arsenal, Gilberto Silva dan Presiden Unit Operasi ASEAN & Pasifik Selatan Coca Cola sambil diiringi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dato’ Dr. Ts. Nagulendran Kangayatkarasu kepada para tetamu yang hadir dalam satu majlis di SkyPark Regional Aviation Centre.

Untuk makluman, Silva merupakan salah seorang daripada anggota skuad kebangsaan Brazil yang berjaya menjuarai Piala Dunia 2002 yang berlangsung di Jepun dan Korea Selatan.

Para tetamu serta pengamal media yang hadir di majlis terbabit turut diberikan peluang untuk bergambar dengan trofi terbabit sebelum ianya dibawa ke Sunway Pyramid – bagi dipertontonkan kepada para peminat dan pengunjung sehingga ke malam ini.

Malaysia menjadi negara ASEAN pertama dikunjungi oleh Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA oleh Coca-Cola menjelang Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung bermula 11hb Jun hingga 19hb Julai kelak.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd