Peruntukan RM12 Juta Untuk Program Road To Gold 2026

January 22, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Kerajaan mengumumkan meneruskan Program Road To Gold (RTG) dengan peruntukan sebanyak RM12 juta bagi tahun 2026 sebagai usaha untuk membutirkan pingat emas pertama Malaysia di temasya Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Taufiq Johari menjelaskan program itu memberikan pelbagai aspek sokongan kepada atlet-atlet elit yang berada dalam kelompok ranking terbaik dunia.

“Bagi memburu pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik, Program Road To Gold (RTG) akan diteruskan sebagai inisiatif strategik negara ke arah Sukan Olimpik 2028.” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan Dewan Rakyat, pada hari ini.

Kerajaan menyalurkan peruntukan ini agar persiapan awal dapat dilaksanakan secara berfasa sebelum berlangsungnya Sukan Olimpik yang seterusnya di Los Angeles pada tahun 2028.

Dalam sesi yang sama, Dr. Taufiq turut memaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) akan meneruskan pelaksanaan Program ASIAKOM yang memfokuskan persiapan atlet ke arah Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun dan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.

“Program ini akan memberi tumpuan kepada atlet berpotensi pingat dengan sokongan yang lebih tertumpu, termasuk pendekatan pembangunan yang lebih bersasar mengikut keperluan atlet.” jelasnya.

Selain itu, persiapan ke arah temasya Sukan SEA 2027 telah dimulakan bermula tahun ini termasuk sesi libat urus bersama semua Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) pada 6hb Januari 2026 bagi menyelaras hala tuju latihan dan program berprestasi tinggi.

Featured Image: Facebook Taufiq Johari

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd