Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM Sebulat Suara Letak Jawatan

January 28, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi penggal 2025-2029 meletakkan jawatan masing-masing dengan serta-merta pada hari ini.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh FAM menerusi satu kenyataan media yang disiarkan sebentar tadi dengan menjelaskan ianya dibuat secara sebulat suara selain mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi.

“Ia merupakan langkah berhemah dan berprinsip yang diambil susulan situasi terkini yang telah menarik perhatian umum.” tulis kenyataan oleh badan induk berkenaan.

Antara lain, FAM memaklumkan peletakan jawatan itu bertujuan memulihkan keyakinan dalam kalangan penyokong, pihak berkepentingan, rakan kongsi dan komuniti bola sepak secara keseluruhan.

Selain itu, ianya juga memastikan sebarang pembaharuan yang perlu dilaksanakan dapat dijalankan tanpa gangguan atau konflik persepsi dan dengan asas kepercayaan yang tinggi.

Pada masa yang sama, ianya menyediakan ruang sewajarnya kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menilai, meneliti dengan bebas serta menangani perkara-perkara berkaitan tadbir urus serta hal ehwal pentadbiran FAM jika perlu.

Untuk makluman semua, kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal ini mula menjawat jawatan masing-masing setelah memenangi pemilihan dalam Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61 yang berlangsung pada 15hb Februari 2025.

Featured Image: FAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd