Masters Thailand: Zii Jia Singkir Carraggi, Mara Ke Pusingan 16
Hafiz Omar

Lee Zii Jia yang merekodkan peningkatan sebanyak 24 anak tangga dalam Ranking Dunia pada Selasa memulakan kempen Masters Thailand 2026 dengan langkah kanan pada hari ini.
Pemain kelahiran Kedah itu memulakan kempen di kejohanan berkenaan dengan menyingkirkan pemain Belgium yang berusia 25 tahun, Julien Carraggi ketika bertembung di pusingan 32, sebentar tadi.
Zii Jia memenangi pertembungan itu dengan bergaya menerusi skor 21-19 dan 21-11 dalam masa tidak sampai setengah jam sekaligus mendaftarkan kemenangan kedua berturut-turut ke atas Carraggi di pentas antarabangsa.
Sekitar tiga tahun lalu, Zii Jia turut mencatatkan kemenangan ketika bertemu Carraggi di Terbuka Denmark menerusi skor 19-21, 21-15 dan 21-10 dalam masa sekitar satu jam.
Sementara itu, kemenangan pada hari ini membawa Zii Jia bertemu pemain India yang berada di ranking ke-60 dunia, Mithun Manjunath di pusingan 16 bagi Jelajah Dunia BWF Super 300 ini.
Berdasarkan rekod, Zii Jia dan Mithun pernah bertembung sebanyak empat kali setakat ini dan tiga daripadanya memihak kepada Zii Jia.
Featured Image: Facebook Victor