Bekas Jurulatih Zii Jia Sertai Barisan Kejurulatihan Perseorangan Lelaki BAM

January 30, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Teka-teki mengenai hala tuju Yeoh Kay Bin iaitu bekas jurulatih kepada Lee Zii Jia terjawab apabila dilantik sebagai Jurulatih Perseorangan Lelaki Skuad Remaja Kebangsaan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pada hari ini.

Pelantikan Kay Bin diumumkan bersama-sama dua lagi individu iaitu Harry Hartono selaku Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki Kebangsaan serta Mohd Zakry Abdul Latif sebagai Jurulatih Beregu Wanita Kebangsaan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh BAM menerusi satu kenyataan media di laman sesawang rasminya selain dikongsikan di pelbagai akaun media sosialnya, pagi tadi.

“Pelantikan ini sebahagian daripada inisiatif strategik BAM dalam mengukuhkan lagi struktur kejurulatihan kebangsaan, dengan tumpuan yang holistik kepada teknikal, taktikal, fizikal dan pembangunan mental pemain-pemain,” tulis kenyataan oleh BAM.

Pada penghujung Disember lalu, pasukan Zii Jia iaitu Team LZJ mengesahkan Kay Bin tidak melanjutkan kontraknya untuk melatih bekas perseorangan lelaki No.1 negara itu atas alasan memburu cabaran baharu bagi tahun 2026.

Menurut BAM, Kay Bin akan mula melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada 3hb Februari kelak. Manakala Harry dan Zakry pula akan memulakan tugasnya pada 10hb dan 20hb Februari masing-masing.

Featured Image:  BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd