Penang FC Bawa Masuk 6 Pemain Baharu

February 6, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penghuni tangga keenam Liga Super, Penang FC membawa masuk enam pemain baharu sepanjang jendela perpindahan pertengahan musim yang berlangsung dari 5hb Januari hingga 1hb Februari.

Pemain tengah kelahiran Mesir yang mempunyai pasport Belanda, Omid Musawi menjadi nama terakhir yang ditandatangani oleh kelab bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail pada tempoh itu.

Khidmat Omid, 25 tahun, yang akan menyarung jersi bernombor 17 diperoleh secara pinjaman daripada Selangor FC sehingga ke penghujung musim.

Selain Omid, Penang FC turut meminjam pemain sayap tempatan berusia 30 tahun iaitu Nur Shamie Iszuan daripada Kuching City FC sehingga ke penghujung musim 2025-26.  

Pemain yang bakal menyarung jersi bernombor 67 ini dibawa masuk bagi menambahkan pilihan buat ketua jurulatih di bahagian sayap sekaligus menambah nilai skuad berjulukan Harimau Kumbang. 

Turut sama ditandatangani oleh Penang FC pada jendela perpindahan kali ini adalah pemain tengah tempatan yang berusia 25 tahun, Arif Shaqirin Suhaimi. Pemain yang pernah bersama PKNP FC itu menyertai Penang FC daripada Kuala Lumpur City FC (KL City).

Sementara itu, tiga lagi pemain lain yang diikat oleh Penang FC merupakan pemain dari luar negara yang terdiri daripada Douglas Coutinho (Brazil, penyerang) dan Erick Brandon (Brazil, pemain tengah) Amirul Kamil Jaser (Filipina, pertahanan).

Keenam-enam pemain ini menjadi pengganti kepada enam pemain iaitu Thiago Fernandez, Limbikani Mzava, Wan Zack Haikal, Ariff Farhan, Lim In-Kyu dan Danilo Sipovac yang dilepaskan oleh Penang FC dengan persetujuan bersama.

Featured Image: Penang Football Club

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd