Al-Sultan Abdullah, Tunku Mahkota Ismail & Tengku Amir Shah Calon Paling Sesuai Kemudi FAM
Hafiz Omar
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah merupakan antara calon yang paling sesuai untuk mengisi jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tiga nama itu dilontarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan The Real Warriors FC, Dato’ Mohd Irwan Rizal sambil menyifatkan pengaruh kerabat diraja dapat menarik perhatian pelbagai pihak dan pemegang taruh termasuk penaja-penaja untuk memartabatkan bola sepak negara.
Seperti ramai ketahui, ketiga-tiga nama yang disebutkan itu tidak asing dengan bola sepak tanah air dengan Al-Sultan Abdullah sendiri pernah menyandang jawatan Presiden FAM dari tahun 2014-2017 sementara Tunku Mahkota Ismail memimpin FAM dari tahun 2017-2018 selain memiliki Johor Darul Ta’zim (JDT).
Manakala Tengku Amir Shah pula merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Pengerusi Kelab Bola Sepak Selangor (SFC).
“Kalau bagi saya buat masa ini, yang terbaik adalah Sultan Pahang dan juga Tunku Mahkota Ismail. Kita harap Sultan Pahang dan Tunku Mahkota Ismail boleh perkenan dan pertimbangkan dan kalau ikut sejarah, baginda memang komited dalam sukan bola sepak.”

“Raja Muda Selangor juga salah seorang tokoh bola sepak. Jadi jangan kita menidakkan pengaruh kedudukan Raja dalam bola sepak, selain amat dihormati rakyat dan sukan bola sepak juga adalah sukan rakyat.” katanya ketika bertemu pengamal media di Kuala Lumpur, pada hari ini.
Nama-nama untuk mengisi jawatan Presiden FAM hangat diperkatakan pada ketika ini susulan barisan Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2025-2029 terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa (Exco) sebulat suara bertindak meletakkan jawatan masing-masing sekitar penghujung Januari lalu.
Tindakan itu bakal menyaksikan FAM akan mengadakan melangsungkan kongres bagi memilih barisan Jawatankuasa Eksekutif yang baharu bagi mengemudi badan induk bola sepak tanah air terbabit.
Kehangatan perbincangan itu turut diserikan dengan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Dato’ Sri Megat D. Shahriman yang menyatakan hasrat untuk bertanding merebut kerusi Presiden FAM pada kongres akan datang.
Mengulas mengenai perkara itu, beliau menasihatkan agar mana-mana individu termasuk Shahriman perlu menilai dengan lebih terperinci mengenai tanggungjawab besar yang harus dipikul sebagai Presiden FAM.
“Niat dia mungkin baik, tapi belum tentu cara dia itu betul. Jadi, janganlah asyik nak tawar diri jadi Presiden. Kenapa tak tawar diri jadi Exco dahulu? Bemula dari bawah. Siapa pun individu kalau nak tawarkan diri (jadi Presiden FAM), fikir lima, enam kali.” tambahnya.