BAM Hantar Emel Jemput Zii Jia, Aidil, Sze Fei-Izzuddin Sertai Skuad Piala Thomas 2026

February 12, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia serta pasangan beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin dijemput oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membarisi skuad kebangsaan bagi beraksi berentap di Piala Thomas 2026 yang berlangsung pada 24hb April hingga 3hb Mei kelak.

Turut sama mendapat jemputan ke kejohanan yang akan berlangsung di Horsens, Denmark itu adalah seorang lagi pemain perseorangan professional, Aidil Sholeh.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Dato’ Seri Lee Chong Wei memaklumkan khidmat ketiga-tiga wakil negara itu ditagih BAM bagi menamatkan kemarau kejuaraan Piala Thomas yang telah berlarutan selama 34 tahun.

“Saya ada berbincang dengan coach Kenneth Jonassen, kita jemput juga pemain-pemain di luar BAM macam Zii Jia, kita sudah hantar emel, kita tunggulah balasan emel,”

“Kita juga ada perseorangan lelaki macam Leong Jun Hao, kita (akan) pilih yang berada dalam keadaan terbaik untuk persiapan ke Piala Thomas.” katanya kepada pihak media selepas Lawatan Rasmi Penaung BAM, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah ke Akademi Badminton Malaysia pada hari ini.

Selain daripada memperkukuhkan skuad negara dengan menjemput pemain-pemain profesional, BAM turut melakukan perancangan untuk menerbangkan skuad Piala Thomas termasuk skuad Piala Uber dengan lebih awal ke Denmark.

“Kita buat persiapan awal, kita akan ke Denmark dengan lebih awal, jalankan kem latihan di sana, awal sepuluh hari, selepas Kejohanan Badminton Asia, kita akan bawa pemain sparring juga,” tambahnya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia merangkul kejuaraan Piala Thomas adalah pada tahun 1992 yang berlangsung di ibu negara, Kuala Lumpur.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd