Manchester City Guna BYD & Denza Sebagai Kenderaan Rasmi
Hafiz Omar
Juara Liga Perdana empat kali berturut-turut, Manchester City akan menggunakan kenderaan berjenama BYD dan Denza sebagai kenderaan rasmi kelab khususnya ketika kemasukan bas rasmi skuad senior lelaki ke stadium pada aksi Liga Perdana dan pertandingan domestik di halaman sendiri.
Perkembangan itu hadir selepas Manchester City dan jenama kereta elektrik dari China, BYD mengumumkan kerjasama strategik yang menyaksikan BYD diangkat sebagai Rakan Automotif Rasmi buat skuad berjulukan The Cityzen.

Hasil kerjasama itu, BYD turut membawa kepakarannya menerusi pengecasan kenderaan serta sistem bateri penyimpanan tenaga ke pusat latihan rasmi serba canggih milik kelab berkenaan, City Football Academy.
Antara lain, jenama BYD juga akan dipaparkan pada lengan jersi latihan skuad senior lelaki dan pada musim hadapan, skuad senior wanita. Sebagai tambahan, jenama BYD juga akan kelihatan di Stadium Etihad iaitu pada tempat letak kepala di bangku simpanan.
Dimaklumkan, kerjasama ini merupakan strategi langkah terbaru BYD dalam mewujudkan kehadirannya dalam bola sepak antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran jenamanya, kendaraanya dan produk teknologinya.
Langkah bersama Manchester City ini hadir selepas BYD muncul sebagai penaja rasmi UEFA EURO 2024 dan Kejohanan Eropah UEFA Bawah 21 Tahun (B-21) 2025.