Nidzam Jamil Letak Jawatan, K. Rajan Ganti
Hafiz Omar
Penghuni tangga kesembilan Liga Super, Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak lagi menggunakan khidmat Nidzam Jamil selaku ketua jurulatihnya.
Perkembangan mengejutkan itu hadir selepas pihak pengurusan skuad berjulukan The Jangs itu memaklumkan jurulatih berusia 45 tahun itu telah meletakkan jawatan menerusi sepucuk surat.
Nidzam yang pernah membimbingan Selangor FC dan Felda United FC meletakkan jawatan selepas skuadnya mengalami kekalahan berturut-turut dalam empat perlawanan terakhir.
“Negeri Sembilan FC (NSFC) hari ini (Isnin) telah menerima surat peletakan jawatan Nidzam Jamil selaku Ketua Jurulatih berkuat kuat serta-merta.” ujar pihak pengurusan NSFC menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di pelbagai akaun media sosialnya pada malam tadi.
View this post on Instagram
Sebagai rekod, Nidzam dilantik sebagai ketua jurulatih NSFC sekitar pertengahan Jun tahun lalu dan telah mengendalikan 24 perlawanan sepanjang musim ini.
Daripada perlawanan yang diharungi itu, Nidzam merekodkan tujuh kemenangan, enam seri dan mengalami sebelas kekalahan.
Susulan daripada peletakan jawatan Nidzam itu, penolong ketua jurulatih iaitu K. Rajan diberikan tanggungjawab untuk membimbing NSFC buat sementara waktu.
“Dalam mendepani fasa transisi ini, Penolong Ketua Jurulatih, K. Rajan telah diberi kepercayaan penuh untuk memimpin pasukan sebagai Ketua Jurulatih Interim sehingga makluman selanjutnya.” ujar pihak pengurusan lagi.
Featured Image: Negeri Sembilan FC