Terbuka Jerman: Tiga Beregu Lelaki Lepasi Halangan Pusingan 32
Hafiz Omar

Tiga daripada empat beregu lelaki negara berhasil memulakan kempen Terbuka Jerman 2026 dengan langkah kanan sekaligus melangkah ke pusingan 16.
Gandingan lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang turut diletakkan selaku pilihan pertama mara selepas melakar kemenangan ke atas beregu Denmark, William Kryger Boe dan Andreas Søndergaard.
Aaron-Wooi Yik yang beraksi di Gelanggang 1 mencetak kemenangan secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-16 dan 25-23 dalam masa 40 minit.
Beregu lelaki yang bergerak secara bersendirian, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin mengikuti jejak langkah yang sama apabila mengalahkan beregu Perancis, Mael Cattoen dan Lucas Renoir.
Pertarungan yang berlangsung di Gelanggang 2 itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin, pilihan ketiga, meraih kemenangan menerusi skor 21-17 dan 21-19 dalam masa 33 minit.
Arif Junaidi dan Yap Roy King yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan menjadi sepasang lagi beregu negara yang mencetak kemenangan pada pusingan 32.
Beregu lelaki No.4 negara itu meraih kemenangan ke atas Oliver Butler dan Samuel Jones dari England menerusi skor 21-14 dan 21-12 dalam masa 30 minit.
Bagaimanapun, Choong Hon Jian dan Muhammad Haikal terpaksa akur langkah kiri di kejohanan ini apabila gagal menjinakkan pilihan kedua kejohanan dari China, Liang Wei Keng dan Wang Chang.
Biarpun memberikan tentangan yang sengit, Hon Jian-Haikal terpaksa akur tewas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 14-21, 21-18 dan 18-21 dalam masa 47 minit.
Sepasang lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi akan turun beraksi pada hari ini. Bekas beregu lelaki No.2 negara itu akan berhadapan wakil Singapura, Donovan Willard Wee dan Howin Wong Jia Hao.
Featured Image: BAT