Klausa Pelepasan Alex Agyarkwa Bernilai RM6 Juta

March 2, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemain tengah kelahiran Ghana, Alex Agyarkwa yang beraksi secara pinjaman selama setengah musim bersama Negeri Sembilan FC mempunyai klausa pelepasan bernilai RM6 juta.

Nilai itu dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus ketika menjawab komen daripada seorang peminat samada mempunyai modal untuk mendapat pemain berusia 25 tahun itu secara tetap pada musim hadapan.

“Release clause (klausa pelepasan) RM6 juta,” tulisnya di ruangan komen pada hantaran di akaun Facebook peribadinya, pada Ahad.

Sebagai rekod, Alex menyertai skuad berjulukan The Jangs bermula pertengahan Julai tahun lalu daripada Selangor FC dengan kontrak pinjaman selama semusim. 

Pemain berketinggian 1.72 meter (m) serasi dan menyinar di bawah bimbingan Nidzam Jamil sekaligus meraih minat serta disayangi penyokong-penyokong Negeri Sembilan FC.

Dalam tempoh singkat itu, Alex sempat mencetak tujuh penampilan dalam saingan Liga Super, dua penampilan dalam kancah Piala FA dan satu penampilan dalam aksi Piala Malaysia.

Biarpun peranannya di atas padang banyak berkisar sebagai perancang, Alex turut berhasil meledak satu gol serta mencipta tiga bantuan gol.

Namun begitu, tatkala namanya kian menjadi sebutan dalam kalangan peminat-peminat Negeri Sembilan FC, kelab induknya, Selangor FC memanggil semula Alex ke pangkuannya selepas enam bulan.

Featured Image: Selangor FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd