All England: 5 Wakil Negara Kandas Awal
Hafiz Omar

Hari pertama Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2026 melabuhkan tirainya dengan lima wakil negara kandas di pusingan 32 sekaligus tersingkir awal daripada saingan Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu.
Paling mengejutkan adalah penyingkiran awal beregu campuran No.1 negara merangkap juara Kejohanan Dunia BWF, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Pasangan yang turut diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan itu mengalami kekalahan di tangan pasangan Denmark yang menghuni tangga ke-34 dunia, Rasmus Espersen dan Amalie Cecilie Kudsk.
Dalam pertarungan sengit itu, Tang Jie-Ee Wei tewas menerusi tiga set permainan yang berlanjutan lebih satu jam menerusi skor 21-18, 12-21 dan 23-25.
Sementara itu, sepasang lagi beregu campuran, Jimmy Wong dan Lai Pei Jing yang membuat kemunculan pertama di kejohanan Seluruh England tewas di tangan Ye Hong Wei dan Nicole Gonzales Chan dari Chinese Taipei menerusi skor 17-21 dan 18-21.
Begitu juga skripnya melibatkan beregu campuran, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin yang tewas dua set berturut-turut menerusi skor 17-21 dan 19-21 dalam masa 41 minit di tangan pasangan India, Dhruv Kapila dan Tanisha Crasto.
Seterusnya, Choong Hon Jian dan Muhammad Haikal tewas kepada bekas beregu lelaki No.1 dunia, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen menerusi skor 13-21 dan 17-21.
Hal yang sama turut menimpa Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi dimana mereka gagal menjinakkan beregu Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri dan terpaksa akur tewas menerusi skor 9-21 dan 17-21.
Perseorangan lelaki No.1 negara, Leong Jun Hao muncul satu-satunya wakil Malaysia yang berhasil mencetak kemenangan pada hari pertama kejohanan dengan menewaskan Kenta Nishimoto 21-17, 13-21 dan 21-18 sekaligus meneruskan kempen ke pusingan 16.
Featured Image: BAM