Hukuman CAS Tidak Seimbang – FAM

March 6, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung rayuan yang difailkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disifatkan sebagai tidak seimbang.

Badan induk itu menegaskan menghormati bidang kuasa CAS namun FAM menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini berpendapat sedemikian apabila dibandingkan dengan hukuman dalam kes-kes serupa yang pernah diputuskan oleh mahkamah berpangkalan di Switzerland itu.

Pada Khamis, CAS memaklumkan rayuan FAM ditolak dan memutuskan hukuman terhadap tujuh pemain terdiri daripada Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figeuiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machucha dan Gabriel Palmero kekal digantung selama 12 bulan namun dibenarkan untuk berlatih bersama kelab.

Sementara itu, FAM kekal didenda sebanyak CHF350,000 (~RM1.77 juta).

“Keputusan ini amat mengecewakan, khususnya bagi para pemain. Mereka tidak terlibat dalam proses pentadbiran dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara berkaitan pentadbiran. Para pemain tersebut adalah warganegara Malaysia yang telah dianugerahkan kewarganegaraan mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia.” tulis kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, FAM menerima tanggungjawab atas kegagalan penyelian yang berlaku. 

“Siasatan oleh agensi kerajaan di Malaysia serta FIFA masih sedang berjalan. FAM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan.” tambah FAM lagi.

Featured Image:  FAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd