Ranking BWF: Aaron-Khai Xing Dalam Kelompok 30 Teratas
Hafiz Omar

Juara Kejohanan Remaja Dunia BWF 2024, Aaron Tai dan Kang Khai Xing menempatkan diri mereka dalam kelompok 30 beregu lelaki terbaik dunia selepas melakukan debut dalam Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England, pada minggu lalu.
Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menunjukkan gandingan berusia 19 tahun masing-masing itu kini berada di tangga ke-27 dunia – meningkat enam tangga berbanding kedudukan terdahulu.
Dalam kejohanan Seluruh England, Aaron-Khai Xing berhasil melepasi pusingan 32 selepas mengejutkan bekas beregu lelaki No.1 dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty.
Bagaimanapun, kempen sulung Aaron-Khai Xing di Seluruh England menemui titik noktahnya pada pusingan 16 apabila gagal menjinakkan beregu lelaki No.2 China, Chen Bo Yang dan Liu Yi.
Kemaraan sehingga pusingan 16 itu telah memberikan Aaron-Khai Xing pertambahan sebanyak 4,800 mata sekaligus mengumpul 42,200 mata secara keseluruhan.
Minggu ini, Aaron-Khai Xing akan beraksi di Terbuka Swiss – salah satu siri Jelajah Dunia BWF Super 300 – bertemu Muhammad Rian Ardianto dan Rahmat Hidayat dari Indonesia di pusingan 32.
Featured Image: BAM