JDT Sebaris FC Istiklol – Juarai Liga Domestik 12 Kali Berturut-Turut

March 17, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab bola sepak terhandal tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan liga domestik iaitu Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut pada Ahad selepas menumpaskan DPMM FC pada perlawanan ke-19 musim ini.

Skuad berjulukan Harimau Selatan itu mengesahkan kejuaraan selepas melakar kemeangan 3-0 hasil jaringan Ager Aketxe (33’), Oscar Arribas (74’) dan Marcos Guilherme (77’) sambil disaksikan 10,021 penonton di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Kejuaraan ke-12, rekod baharu dalam kancah bola sepak negara, hadir selepas JDT yang dijenamakan semula pada tahun 2012 menjuarai Liga Super musim 2014, 2015, 2016, 2017, 2018, 2019, 2020, 2021, 2022, 2023, 2024-25 dan 2025-26.

Menariknya, kejuaraan ke-12 ini meletakkan JDT sebaris dengan FC Istiklol yang turut mengesahkan kejuaraan ke-12 apabila Liga Tajikistan 2025 melabuhkan tirainya pada hujung tahun lalu.

Pada masa yang sama, perkembangan ini menyaksikan Res.Sport.Soccer Statistics Foundation (RSSSF) menempatkan JDT dalam kelompok 10 kelab teratas dunia bagi kejayaan merangkul kejuaraan liga domestik secara berturut-turut.

Antara yang berada di atas JDT ialah FC Bate Barisov (Belarus), Al-Faisaly (Jordan), Rosenberg BK (Norway) – 13 kejuaraan; Lincoln Red Imps (Gibraltar), PFC Ludogorets Razgrad (Bulgaria), Skonto FC (Latvia) – 14 kejuaraan dan Tafea FC (Vanuatu) – 15 kejuaraan.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd