Salah Dinasihatkan Tidak Berhijrah Ke Kancah Bola Sepak Amerika Syarikat
Hafiz Omar

Penyerang prolifik skuad kebangsaan Mesir, Mohamed Salah yang akan meninggalkan Liverpool pada penghujung musim ini dinasihatkan agar tidak berpindah ke Liga Bola Sepak Utama (MLS).
Pengarah skuad kebangsaan Mesir, Ibrahim Hassan melontarkan sendiri nasihat sambil menjangkakan nama Salah akan lenyap daripada perhatian umum sekiranya beraksi di kancah bola sepak Amerika Syarikat itu.
Pemain berusia 33 tahun itu belum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya setelah mengharungi sembilan musim yang penuh berwarna-warni bersama Liverpool.
Namun begitu, Pesuruhjaya MLS, Don Garber amat berharap Salah akan beraksi di MLS walaupun tiada sebarang pengesahan samada mana-mana kelab MLS akan mendapatkan khidmatnya.
“Secara peribadi, saya lebih suka dia kekal di Eropah.” kata Hassan kepada On Sports sepertimana dipetik daripada Reuters. “Saya dengar ada tawaran daripada Paris Saint-Germain, Bayern Munich dan kelab-kelab di liga Itali,”
“Berpindah ke MLS? Dia akan terlalu jauh daripada perhatian (peminat). Anda tidak akan ingat Salah lagi, sama seperti saya tidak lagi mengikuti Messi sekarang, malah saya tidak cuba menontonnya.” katanya.
Hassan berpandangan Liga Pro Saudi (SPL) adalah pilihan yang lebih sesuai jika Salah memilih untuk tidak kekal dalam kancah bola sepak Eropah.
“Jika dia tidak menerima sebarang tawaran daripada Eropah, maka perpindahan ke Liga Saudi adalah lebih pilihan yang lebih baik, terutamanya dengan nama besar seperti Cristiano (Ronaldo),” tanbah Hassan lagi.
Salah kini diketepikan daripada menyertai kem latihan Mesir susulan kecederaan.
Mesir dijadualkan berhadapan Sepanyol pada aksi persabahatan di Barcelona awal pagi Rabu sebagai persiapan untuk menghadapi Piala Dunia FIFA 2026 yang akan bermula Jun kelak.