Mauricio Terbuka Untuk Kekal Bersama Amerika Syarikat
Hafiz Omar

Bekas pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menyatakan beliau terbuka untuk kekal membimbing skuad Amerika Syarikat selepas berakhirnya Piala Dunia FIFA 2026.
Kontrak pengendali berusia 54 tahun kelahiran Argentina berkenaan bersama Amerika Syarikat akan berakhir sejurus kejohanan bola sepak paling berprestij itu melabuhkan tirainya.
Sebagai rekod, Pochettino menandatangani kontrak bersama Amerika Syarikat pada musim panas 2024 dengan tempoh sehingga selepas Piala Dunia 2026.
“Siapa tahu apa yang akan berlaku,” katanya kepada para wartawan sebelum bertemu Portugal sepertimana dipetik daripada The Athletics.
“Kami terbuka. Kami tidak mempunyai kontrak untuk masa hadapan tetapi mengapa tidak jika kami gembira dan persekutuan (badan induk) gembira?”
“Anda tidak boleh bercakap tidak. Dalam bola sepak, segala-galanya boleh berlaku. Saya sangat gembira. Sudah tentu ianya sukar, ia cabaran yang besar, lebih besar daripada kami jangkakan apabila kami datang ke sini. Tetapi kami merupakan staf kejurulatihan yang sukakan cabaran.” katanya lagi.
Pochettino menegaskan bahawa beliau belum berbincang dengan bekas kelabnya, Tottenham Hotspur atau Real Madrid, dua kelab yang telah memecat ketua jurulatih masing-masing dan sering mengaitkan namanya.
“Semua orang tahu saya komited dengan pasukan kebangsaan di sini,” tambahnya.
“Bukan masanya untuk bercakap tentang masa depan. Buat masa ini, tiada siapa mendekati. Siapa tahu apa yang akan berlaku.” katanya lagi.
Sejak bersama Amerika Syarikat, Pochettino telah mengendalikan 23 perlawanan melibatkan pelbagai kejohanan atau pertandingan. Beliau merekodkan 14 kemenangan, satu seri dan lapan kekalahan.
Featured Image: US Soccer