MFL Denda Kuching City FC RM30,000

March 31, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pengelola pertandingan bola sepak tanah air, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan mengenakan denda sebanyak RM30,000 kepada kelab berpangkalan di Borneo iaitu Kuching City FC.

Denda itu bersama-sama amaran keras dikenakan selepas mendapati Kuching City FC bimbingan Aidil Sharin Sahak cuai dalam memastikan ketetapan maklumat “Team List” ketika bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya pada 15hb Mac 2026.

Kecuaian itu melibatkan Kuching City FC menurunkan Scott Woods, tidak tersenarai dalam “Team List” sebagai pemain gantian pada minit 90+6, walaupun telah didafatarkan dalam “Selection List” sebagai pemain simpanan.

Ianya merupakan kesilapan teknikal dalam penyediaan “Team List” oleh Komisioner Perlawanan (MC).

Daripada laporan yang diterima, Ahli Lembaga MFL turut mendapati MC, Koordinator Perlawanan (GC) dan Pegawai Keempat (P4) gagal menjalankan Prosedur Operasi Standard (SOP) pemeriksaan pemain di dalam bilik persalinan pemain mengikut SOP yang ditetapkan.

Selain itu, pertukaran pemain pada ketika itu telah dibenarkan oleh GC dan P4 tanpa semakan menyeluruh terhadap “Team List”sekaligus menyebabkan Scott Woods yang tidak tersenarai secara rasmi dalam “Team List” telah diturunkan.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL mengesahkan terdapat kegagalan pematuhan terhadap Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP) Liga Malaysia 2025–2026 di mana; MC telah melakukan kesilapan dalam penyediaan “Team List”, GC dan P4 gagal melaksanakan semakan yang sewajarnya sebelum dan semasa perlawanan manakala pihak kelab juga tidak meneliti ‘Team List’ secara menyeluruh sebelum mengesahkan dokumen rasmi tersebut.” tulis kenyataan MFL.

Walaupun didenda dan diberikan amaran keras, keputusan perlawanan Penang FC 0-1 Kuching City FC dikekalkan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd