Roberto De Zerbi Ketua Jurulatih Baharu Spurs

April 2, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab yang sedang meniti di atas zon penyingkiran, Tottenham Hotspur selesai melantik ketua jurulatih yang baharu selepas memecat pengendali sebelumnya, Igor Tudor.

Menerusi satu pengumuman oleh pihak kelab, pasukan yang turut terkenal dengan julukan Spurs itu memaklumkan melantik Roberto De Zerbi, 46 tahun, sebagai ketua jurulatihnya yang baharu.

Spurs tidak mendedahkan secara spesifik tempoh kontrak De Zerbi bersamanya dan sekadar menulisnya dengan jangka masa panjang.

Sebelum ini, De Zerbi mengendalikan Marseille dalam kancah Ligue 1. Pada musim pertamanya, musim 2024-25, De Zerbi mengemudi Marseille memberikan tentangan sengit kepada kelab dominan, Paris Saint-Germain (PSG).

Akan tetapi Marseille terpaksa akur menamatkan kempen Ligue 1 musim itu sebagai naib juara. Walaubagaimanapun, kedudukan itu membolehkan mereka meraih semula tiket ke kancah Liga Juara-Juara UEFA (UCL) selepas kali terakhir beraksi di situ pada musim 2022-23.

Pada Februari lalu, jodoh De Zerbi bersama Marseille menemui titik noktahnya apabila kedua-dua pihak dilaporkan bersetuju untuk berpisah selepas Marseille tewas 0-5 di tangan Paris Saint-Germain (PSG).

Sebelum membimbing Marseille, De Zerbi telah berkhidmat selama dua musim dalam kancah bola sepak Inggeris bersama Brighton & Hove Albion.

Pencapaiannya bersama skuad berjulukan The Seagulls itu cukup diingati khususnya pada musim 2022-23 dengan mara ke separuh akhir Piala FA dan menamatkan saingan PL di tempat keenam – terbaik dalam sejarah kelab.

Saingan PL musim ini berbaki tujuh perlawanan sahaja lagi dan magis De Zerbi pastinya ditagih oleh Spurs untuk memastikan mereka tidak terjeremus dalam zon penyingkiran sekaligus terpaksa beraksi dalam Liga Kejuaraan musim hadapan.

Featured Image: Tottenham Hotspur

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd