Giancarlo Tuntut Rakan Sepasukan Lebih Berdisiplin Lawan JDT

April 2, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kuala Lumpur City FC ambil pendekatan lebih berdisiplin di setiap posisi bagi mengekang kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terkenal dengan corak permainan agresif pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, esok.

Tonggak KL City, Giancarlo Gallifuoco menyifatkan aksi itu bukan sekadar perlawanan biasa malahan sebagai ujian sebenar daripada aspek fizikal, mental dan keberanian.

Justeru, pertahanan berusia 32 tahun itu sedar bahawa pasukannya bukan sahaja perlu memantapkan taktikal sendiri malah setiap pemain perlu lebih berani bagi menyaingi kekuatan JDT yang terkenal dengan intensiti tinggi sepanjang perlawanan.

“JDT memiliki ramai pemain agresif dan tahan lasak. Mereka akan cuba cipta situasi satu lawan satu dan menyukarkan kami menguasai bola. Jadi kami perlu kekal fokus, berdisiplin dan bergerak sebagai satu pasukan tanpa gentar.”

“Dalam masa sama, inilah perlawanan yang paling mencabar dan menaikkan semangat di mana setiap hantaran yang baik, setiap terjahan atau tandukan akan terasa lebih bermakna bila menentang pasukan terbaik.” 

“Jadi ia memang menuntut dari segi fizikal, tapi pada masa sama juga akan dapat memberi kepuasan,” jelasnya. 

Namun, apa yang membuatkan pemain kelahiran Australia ini sentiasa teruja apabila melibatkan perlawanan berdepan kelab terbaik adalah semangat penyokong yang ada di belakang pasukan yang sekaligus memberikan motivasi tambahan kepada mereka untuk berentap sehabis baik. 

“Kami sentiasa turun tanpa rasa takut meskipun ada kala kami rasa kami bukan pasukan pilihan untuk menang dan untuk saya, taktikal memang penting, tapi mentaliti jauh lebih penting daripada segalanya.”

“Dah 5 tahun saya di sini, hampir 6 tahun, dan saya dah banyak kali berdepan JDT. Satu perkara yang saya belajar sebagai pemain KL City, kelab dan penyokong akan sentiasa menyokong kita selagi kita berani dan beri 100%. Jadi itu cara saya buat persiapan setiap kali perlawanan seperti ini,” tambahnya.

Selain aksi KL City dan JDT pada Jumaat, satu lagi perlawanan separuh akhir Piala Malaysia berlangsung membabitkan Kuching City FC dan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Ahad.

Featured Image: Kuala Lumpur City

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd