Layak Ke Piala Dunia – Skuad Congo Terima Wang Tunai, Jeep & Tanah
Hafiz Omar

Anggota skuad kebangsaan Congo yang mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Dunia FIFA 2026 menerima ganjaran yang lumayan daripada pemimpin negaranya, Presiden Felix Tshisekedi.
Tiket ke Piala Dunia itu menjadi milik Congo selepas bekas pertahanan Manchester United, Axel Tuanzebe menolak masuk bola daripada sepakan penjuru pada minit ke-100 dan menoktahkan permainan dengan keputusan 1-0.
Kemaraan itu cukup bersejarah memandangkan skuad berjulukan The Leopards sudah tidak beraksi di pentas Piala Dunia selama 52 tahun.
Menurut laporan Africa Soccer, Tshisekedi telah membuat pengumuman pada 5hb April lalu dalam satu majlis di Istana Rakyat – bagi meraikan pencapaian Congo bimbingan Sebastien Desabre itu.
Dalam majlis itu, Tshisekedi mengumumkan setiap pemain dan staf kejurulatihan akan menerima sebuah kenderaan baharu berjenama Jeep, bonus tunai serta sebidang tanah.

Dalam ucapannya, Tshisekedi memuji komitmen tinggi dipamerkan skuad Congo sepanjang kempen selain menuntut konsistensi untuk layak ke pentas Piala Dunia di masa akan datang.
“Mulai sekarang, penyertaan di Piala Dunia mesti menjadi satu kebiasaan,” katanya.
Sebagai rekod, kempen Congo ke Piala Dunia bermula dari pusingan pertama kelayakan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) dengan muncul naib juara Kumpulan B.
Congo muncul dalam kelompok empat daripada sembilan pasukan naib juara terbaik sekaligus memberikannya tiket kemaraan ke pusingan kedua. Pusingan itu bertindak sebagai play-off untuk mencari wakil tunggal CAF untuk aksi antara benua.
Congo berhasil muncul juara pusingan kedua hasil mengalahkan Cameroon 1-0 pada separuh akhir diikuti menumpaskan Nigeria menerusi penentuan sepakan penalti yang berkesudahan 4-3 selepas terikat 1-1 selama 120 minit permainan.
Pada aksi separuh akhir antara benua, Congo terlebih dahulu mengetepikan New Caledonia dengan keputusan 1-0 sebelum menutupnya dengan kemenangan 1-0 ke atas Jamaica.
Berdasarkan undian yang telah dijalankan, Congo akan memulakan kempen pusingan akhir Piala Dunia kelak dalam Kumpulan K bersama Portugal, Colombia dan Uzbekistan.
Featured Image: FIFA World Cup Facebook