Liga Malaysia Disertakan Secara Rasmi Dalam eFootball
Hafiz Omar

13 kelab bola sepak yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia merangkumi Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Terengganu FC, Sabah FC, Kuala Lumpur City FC, Negeri Sembilan FC, PDRM FC, Kuching City FC, Kelantan The Real Warriors FC, Penang FC, Imigresen FC, Melaka FC dan DPMM FC kini boleh dimainkan dalam permainan simulasi bola sepak, eFootball.
Perkembangan ini hadir selepas pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) dan penerbit permainan simulasi terbabit, Konami Digital Entertainment (Konami) mengumumkan kerjasama pelesenan dalam satu majlis yang berlangsung di ibu negara, pagi tadi.
Penyertaan 13 kelab Liga Super yang lengkap dengan jersi pasukan autentik serta senarai pemain terkini itu akan dapat dimainkan oleh peminat dan penyokong menerusi kemaskini eFootball versi 5.4 yang dijadualkan dilancarkan hari ini.
“Kerjasama dengan Konami ini membolehkan bola sepak Malaysia berhubung dengan peminat melalui cara yang baharu,” kata Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan.

“Buat pertama kalinya, penyokong boleh mewakili kelab Liga Malaysia kegemaran mereka dalam eFootball, sekaligus membawa keterujaan dan persaingan liga kami ke dunia digital,” tambahnya lagi.
Dimaklumkan, Liga Malaysia merupakan penyertaan liga domestik dari rantau asia yang keempat secara rasmi dalam eFootball selepas Liga Jepun, Liga Korea dan Liga Thailand.
Dalam majlis yang sama, Konami turut berkongsikan mengenai penganjuran eFootball Championship 2026 Malaysia Cup di Malaysia – penekanan terhadap pembangunan inisiatif esports.
Kemuncak penganjuran pertandingan itu akan berlangsung pada 18hb-19hb April kelak di LaLaport Bukit Bintang City Centre (BBCC).
Pemenang bagi kategori mudah alih dan konsol akan berpeluang untuk mara ke peringkat eFootball Championship Open Regional Finals.