250 Peserta Meriahkan Klinik NSL Perak, 5 Terpilih Ke Klinik NSL Boot Camp
Hafiz Omar
Program yang berlangsung di Tenby Schools, Ipoh ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan bakat oleh Astro melalui platform NSL – memberi peluang kepada pemain muda untuk meningkatkan kemahiran serta merasai persekitaran latihan bola jaring bertaraf profesional.
Biarpun berlangsung di Perak, menariknya, ia turut menarik minat peserta dari negeri-negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur – menunjukkan potensi besar program ini dalam mengumpulkan bakat dari seluruh negara.
Daripada jumlah keseluruhan peserta, lima peserta terbaik telah terpilih untuk menyertai Klinik NSL Boot Camp – sebuah program elit yang diperkenalkan buat pertama kali musim ini. Boot Camp yang menyediakan modul latihan intensif dan pendedahan berprestasi tinggi ini dijadualkan berlangsung selama dua hari iaitu pada 16hb dan 17hb Mei kelak.

Ianya tidak akan tertumpu kepada kemahiran asas semata-mata. Modul latihan yang akan diperkenalkan adalah lebih hebat dan berfokus kepada pembangunan prestasi dengan diketuai oleh bekas pemain kebangsaan, Nurul Adha Abu Bakar selaku Ketua Jurulatih Klinik NSL.

“Kami melihat potensi besar dalam kalangan peserta di Perak, termasuk penyertaan dari negeri-negeri di utara tanah air. Kami juga menerima penyertaan daripada peserta yang lebih matang, termasuk yang berusia sehingga 30 tahun, membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk berjaya dalam sukan ini. Seiring dengan itu, modul latihan musim ini lebih kritikal dan memberi fokus kepada persediaan pemain ke tahap kompetitif.”
“Pemilihan ke Boot Camp NSL 2026 pula hanya melibatkan peserta terpilih yang dinilai oleh barisan jurulatih kebangsaan dan jurulatih berpengalaman. Ia menjadi platform penting untuk peserta menimba pengalaman berprestasi tinggi, membuktikan keupayaan serta merapatkan jurang antara pembangunan akar umbi dan tahap profesional,” katanya.
Selepas ini, Klinik NSL 2026 akan diteruskan di beberapa lokasi lain di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seperti UNITEN, UiTM, Universiti Malaya serta sekolah terpilih sepanjang berlangsungnya NSL musim ini bagi memperluaskan lagi pencarian bakat di seluruh negara. Penyertaan Klinik NSL dibuka kepada belia wanita berusia 15 hingga 24 tahun secara percuma namun tempat adalah terhad.