Axelsen Umum Persaraan Pada Usia 32 Tahun
Hafiz Omar
Bekas perseorangan lelaki No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen mengumumkan persaraannya sebagai pemain badminton secara rasmi pada usia 32 tahun.
Pengumuman bersara sebagai pemain itu dikongsikan menerusi akaun-akaun media sosialnya pada hari ini sambil mendedahkan keputusan sukar itu terpaksa diambil berikutan masalah kecederaan belakangnya yang berlarutan.
“Disebabkan masalah belakang yang berulang, saya tidak mampu lagi bertanding dan berlatih di tahap tertinggi,”
“Selepas menjalani pembedahan endoskopik, dicucuk berulang kali, kaedah latihan baharu, rawatan, dan secara asasnya mencuba segala-galanya untuk bebas daripada sakit berpanjangan, saya telah dinasihatkan untuk menumpukan perhatian kepada kesihatan jangka masa panjang saya,”
View this post on Instagram
“Menerima situasi ini sangat sukar. Tetapi saya telah mencapai satu titik dimana badan saya sudah tidak membenarkan untuk meneruskannya,” kata pemain yang pernah menduduki takhta No.1 dunia melebihi 100 minggu berturut-turut.
Axelsen boleh dilabelkan sebagai salah seorang perseorangan lelaki terbaik dalam sejarah badminton. Pemain kelahiran Odense ini telah menjuarai kesemua kejohanan utama dalam sukan badminton.
Antaranya, memenangi pingat emas Sukan Olimpik sebanyak dua kali, menjuarai Kejohanan Dunia BWF sebanyak dua kali, merangkul gelaran juara Jelajah Dunia Akhir BWF tiga kali berturut-turut serta kejuaraan di pelbagai pertandingan dalam siri Jelajah Dunia BWF.
Sungguhpun mengumumkan bersara sebagai pemain, Axelsen di dalam pengumumannya itu memberikan bayangan tidak akan meninggalkan dunia badminton secara sepenuhnya.