Kinoshi Letak Jawatan Ketua Jurulatih Tampines Rovers Selepas 12 Hari
Hafiz Omar

Katsuhito Kinoshi yang pernah mengendalikan Selangor FC membuat kejutan apabila meninggalkan BG Tampines Rovers 12 hari selepas diumumkan sebagai ketua jurulatih kelab Liga Singapura berkenaan.
Pihak kelab menerusi satu kenyataan yang disiarkan pada Rabu memaklumkan Kinoshi meletakkan jawatannya berkuat kuasa serta-merta atas alasan berkaitan keluarga.
Kinoshi diperkenalkan sebagai ketua jurulatih baharu Tampines Rovers pada 3hb April lalu bagi mengemudi skuad berjulukan The Stags itu mengharungi baki saingan Liga Singapura musim 2025-26.
Dalam tempoh pendek itu, Kinoshi sempat mengendalikan dua perlawanan bertemu Albirex Niigata Singapore dan Geylang International dimana ianya berkesudahan dengan satu kekalahan dan satu kemenangan.
Sebagai rekod, ini merupakan kemunculan semula Kinoshi sebagai ketua jurulatih selepas direhatkan oleh Selangor FC sekitar penghujung September tahun lalu.
Susulan peletakan jawatan oleh Kinoshi, Tampines Rovers dalam kenyataan yang sama mengumumkan Pengurus Besar merangkap Jurulatih Penjaga Gol, William Phang diangkat sebagai Ketua Jurulatih Sementara sehingga berakhirnya musim 2025-26.
Featured Image: BG Tampines Rovers