Piala Uber: Malaysia Kehilangan Khidmat Pearly Tan

April 16, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Pemain beregu wanita, Pearly Tan nampaknya tersisih daripada skuad kebangsaan wanita sekaligus menyaksikan Malaysia terpaksa mengharungi kempen Piala Uber 2026 tanpa kelibat pemain berusia 26 tahun berkenaan.

Pearly yang membentuk gandingan bersama Thinaah Muralitharan dan kini berada di ranking kedua dunia tidak dapat menyertai kejohanan yang berlangsung di Horsens, Denmark disebabkan kecederaan yang dialaminya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu kenyataan pada hari ini mengesahkan ketidakterlibatan Pearly sambil Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky menjelaskan keputusan itu diambila selepas melakukan pemeriksaan saat akhir untuk menilai keadaannya.

“Pearly tidak berada dalam keadaan untuk bersaing pada tahap yang diperlukan. Kami terpaksa membuat keputusan untuk memastikan pasukan bersedia sepenuhnya.” kata Rexy.

Menerusi akaun media sosial peribadi, Pearly memaklumkan mengalami kecederaan belakang, menimpanya ketika beraksi di kejohanan lalu, Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026.

Ianya merupakan kecederaan yang berulang selepas menimpanya tiga tahun lalu – kecederaan yang hampir meragut segala-galanya daripada pemain kelahiran Kedah itu.

Berikutan ketiadaan Pearly, skuad wanita kini dibarisi sembilan orang pemain terdiri daripada Letshanaa Karupathevan, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha, Goh Jin Wei, Thinaah, Ong Xin Yee, Carmen Ting, Low Zi Yu dan Noraqilah Maisarah.

Untuk makluman, Piala Uber 2026 dijadualkan berlangsung dari 24hb April hingga 3hb Mei. Skuad wanita Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B dan akan memulakan kempen bertemu Turkiye diikuti Afrika Selatan dan Jepun.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd