Jonah Chang, Grace Wong Dinobat Sebagai Olahragawan & Olahragawati UM 2025

April 17, 2026
Olahraga

Hafiz Omar

Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Anak Rigan yang meraih pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 dipilih sebagai Olahragawan Universiti Malaya (UM) 2025 dalam Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaya (ASUM) yang berlangsung pada malam tadi.

Turut menyumbang kepada kejayaan Jonah yang berusia 23 tahun kelahiran Sarawak meraih anugerah itu lontaran sejauh 18.78 meter (m) telah memecahkan rekod temasya serta rekod kebangsaan yang turut dilakukannya sendiri pada tahun 2024.

“Hari ini merupakan hari saya, saya tidak jangkakan saya dapat (anugerah) Olahragawan UM. Saya tahu ramai lagi atlet di luar sana lagi bagus daripada saya. Saya sangat bersyukur untuk hari ini meraih anugerah Olahragawan UM,” kata penuntut jurusan Pengurusan Sukan di universiti berkenaan.

Sementara itu, atlet baling tukul besi, Grace Wong Xiu Mei yang berjaya mempertahankan pingat emas di Sukan SEA 2025 diangkat sebagai Olahragawati UM 2025 dalam majlis yang sama.

Grace, 26 tahun, mencuri tumpuan di temasya dwitahunan itu apabila balingannya yang mencatatkan bacaan 65.41m di Stadium Suphachalasai telah memecahkan rekod kebangsaan dan Sukan SEA.

Selaku pemenang Anugerah Olahragawan dan Olahragawati UM, Jonah dan Grace meraih wang tunai sebanyak RM1,500 serta tambahan hadiah tajaan sebanyak RM500 daripada Touch N Go berserta piala dan hadiah iringan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd