COO Terengganu FC Dipilih Sebagai Ikon Sukan UM 2025

April 17, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Ketua Pegawai Operasi (COO) Terengganu FC, Syahrizan Mohd. Zain dipilih sebagai Ikon Sukan Universiti Malaya (UM) dalam Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaysia (ASUM) 2025 yang berlangsung pada malam tadi.

Beliau yang menuntut dalam jurusan Pengurusan Sukan dari tahun 2006 hingga 2010 di universiti berkenaan dipilih berikutan khidmatnya dalam bidang pengurusan bola sepak bersama T-Team FC, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Terengganu FC.

“Saya tidak menjangkakan untuk dipilih sebagai Ikon Sukan UM tetapi saya lihatnya sebagai satu rezeki dan mengucapkan terima kasih kepada pihak Universiti Malaya terutamanya Pusat Sukan (Universiti Malaya) atas anugerah yang diberikan,” katanya ketika ditemui selepas majlis yang berlangsung di Quill City Mall.

Biarpun kini banyak terlibat dalam arena bola sepak, Syahrizan mendedahkan ketika di zaman universiti dirinya banyak bergiat dalam sukan badminton, sofbol dan futsal.

“Ilmu yang kita pelajari di Universiti Malaya itu kita gunakan dalam industri,” tambahnya.

Sementara itu majlis yang sama turut memilih dua lagi individu; jurulatih pasukan sepak takraw Malaysia, Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif dan jurulatih badminton Malaysia, Mohd Zakry Abdul Latif sebagai Ikon Sukan UM 2025.

Manakala mantan Timbalan Pengarah Pusat Sukan UM merangkap bekas pensyarah kanan serta penganalisis sukan negara, Dr. Mohamad Faithal Hassan pula dipilih sebagai Tokoh Sukan UM.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd