Sabah Tamatkan Kemarau Kejuaran Selepas 7 Tahun – Muncul Juara Challenge Cup
Hafiz Omar

Kelab yang berpangkalan di kepulauan Borneo, Sabah FC menamatkan kemarau kejuaraan selama tujuh tahun apabila muncul juara MFL Challenge Cup 2025-26.
Anak-anak buah Juan Torres Garrido meraih gelaran juara selepas mengalahkan Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti yang berkesudahan dengan skor 4-3 pada perlawanan akhir timbal balik yang berlangsung di lamannya sendiri, Stadium Likas.
Farhan Roslan memastikan kejuaraan menjadi milik skuad berjulukan Sang Badak apabila sepakannya pada giliran keenam mengalahkan Ramadhan Ab Hamid dan menerjah gawang dengan bergaya.

Jaringan Farhan bersama-sama gol daripada Kervens Belfort, Dane Ingham dan Duje Ljubic sudah memadai untuk mengatasi tiga jaringan daripada Penang yang disempurnakan oleh Douglas Countinho, Faith Obilor dan Omid Musawi.
Kejuaraan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas perlawanan selama 120 minit berakhir tanpa sebarang jaringan sekaligus menyaksikan kedua-duanya seri 1-1 secara agregat susulan keputusan pada aksi perlawanan akhir pertama di Stadium Bandaraya, 4hb April lalu.
Kali terakhir Sabah FC, dahulunya dikenali sebagai Sabah FA, meraih kejuaraan adalah pada tahun 2019 apabila menjuarai saingan Liga Perdana sekaligus mendapat promosi ke saingan Liga Super pada musim berikutnya.
Featured Image: Sabah Football Club / Malaysian Football League