Sultan Sharafuddin Cadang Tangguh SUKMA 2026, Batal Piala Sultan Selangor
Hafiz Omar

Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mencadangkan agar temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 15hb hingga 24hb Ogos kelak di Negeri Selangor dibatalkan.
Baginda mencadangkan penangguhan itu sehingga krisis di timur tengah selesai dan pembinaan Stadium Shah Alam yang baharu siap sepenuhnya.
Krisis di timur tengah itu menyebabkan harga sumber tenaga khususnya minyak dan gas meningkat sekaligus memberi kesan kepada pelbagai sektor dalam negara seperti pengangkutan dan pelancongan.
Pada masa yang sama, baginda turut menitahkan agar perlawanan bola sepak tahunan, Piala Sultan Selangor yang menemukan pasukan Selangor dan Singapura pada tahun ini dibatalkan.
“Berhubung dengan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) oleh Negeri Selangor, beta difahamkan peruntukan yang diperlukan adalah sangat tinggi dalam keadaan ekonomi semasa beta berpandangan bahawa adalah lebih wajar penganjuran tersebut ditangguhkan sehingga krisis di ‘middle east’ selesai dan sehingga Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.”
“Dalam masa yang sama, beta juga menitahkan agar penganjuran Piala Sultan Selangor bagi perlawanan bola sepak tahunan antara Selangor dan Singapura bagi tahun 2026 dibatalkan,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, pada hari ini.
Sekitar dua minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Taufiq memaklumkan SUKMA 2026 akan dilangsungkan sepertimana dijadualkan namun skalanya dikecilkan bagi menjimatkan kos tanpa mengurangkan jumlah sukan dan acara yang dipertandingkan – mengambil kira krisis global dan kesan ekonomi yang turut dirasai negara.
Sementara itu, dalam ucapan yang sama, Sultan Sharafuddin berkenan untuk diadakan satu pertandingan bola sepak peringkat remaja melibatkan daerah-daerah di Negeri Selangor bersempena dengan sambutan 25 Tahun Pemerintahan baginda.
“Walaubagaimanapun, beta berkenan agar satu kejohanan bola sepak Piala Jubli Perak dianjurkan melibatkan pelajar-pelajar sekolah bawah umur 15 tahun antara daerah di seluruh Negeri Selangor sebagai usaha memupuk bakat muda serta menyemai semangat kesukanan di peringkat akar umbi. Tambahan lagi, sukan bola sepak ini merupakan sukan paling popular di kalangan rakyat Negeri Selangor.” titah baginda lagi.
Featured Image: Facebook Selangor Royal Office